Abi Bakrah radhiallahu 'anh berkata, Nabi shallallahu 'alaihi
wasallam pernah bertanya tiga kali:
“Mahukah aku
memberitahu kalian tentang dosa yang paling besar?”
Mereka (para
sahabat) menjawab:
“Sudah tentu wahai Rasulullah!”
Baginda menjelaskan:
Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibubapa (perawi menerangkan,
bahawa baginda ketika itu duduk sambil bersandar, lalu menyambung)
dan sumpah yang palsu.
Derhaka kepada ibu adalah lebih berat dosanya, berdasarkan sebuah
hadis lain dimana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
mengkhususkan larangan berbuat derhaka kepada seorang ibu:
Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kalian berbuat derhaka
kepada ibu, meminta sesuatu yang bukan haknya dan menanam bayi
perempuan hidup-hidup. Dan (Allah) membenci kalian menyebarkan gosip,
banyak bertanya dan mensia-siakan harta.
Yang dimaksudkan dengan derhaka adalah apa sahaja perbuatan yang
bertentang dengan berbuat baik dan ihsan. Antaranya,
meninggikan suara, menggunakan perkataan yang kasar, sinis dan
menyinggung perasaan, tidak memenuhi permintaan mereka (selagi mana
ia bukan sesuatu yang bertentangan secara jelas dengan syari‘at
Islam) dan membiarkan mereka dalam keadaan memerlukan bantuan, sama
ada dalam bentuk rohani atau jasmani. Seorang ibu yang menangis dan
seorang ayah yang termenung dalam konteks berinteraksi dengan anak
lazimnya adalah isyarat bahawa mereka telah diderhakai.
‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma pernah menerangkan
bahawa dosa-dosa terbesar ada sembilan, iaitu:
Mempersekutukan Allah, membunuh orang lain (tanpa hak), melarikan
diri daripada pertempuran, memfitnah seorang wanita (dengan tuduhan
zina), memakan riba’, memakan harta anak yatim, berbuat maksiat
dalam masjid, menghina ibubapa dan (menyebabkan) ibubapa
menangis disebabkan kederhakaan (anak kepada mereka berdua).
Ibu dikhususkan daripada ayah kerana lazimnya kita sebagai anak-anak
lebih berani bertindak derhaka kepada ibu berbanding ayah. Sifat
kewanitaan seorang ibu yang lemah lembut dan peranannya yang “hanya
di rumah” menyebabkan sebahagian kita tidak menghormatinya, lantas
berani bersikap derhaka kepadanya. Maka Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam memberi amaran khusus kepada kita berkenaan ibu kita,
bahawa janganlah menderhakainya.
1 comments:
Semoga Allah SWT cucuri rahmat kepada kedua arwah ibubapaku.
Post a Comment