Kos sara hidup rakyat melonjak tinggi sejak harga minyak tidak lagi mendapat subsidi sebanyak dahulu. Di merata tempat kita dengar keluhan orang ramai mengenai perkara yang sama, iaitu harga barang naik secara tidak terkawal walaupun gaji dan pendapatan masih tertinggal di tahap era 80-an, terutamanya bagi mereka yang berkerja di luar Kerajaan. Harga minyak mentah pada awal tahun 2008 mencapai sebanyak USD95 setong. Pada awal tahun 2011 harga tersebut meningkat ke USD114. Ini bererti bahawa Petronas (iaitu, Kerajaan Pusat) telah menikmati keuntungan tambahan sebanyak USD19 setong. Sekali lagi timbul persoalan yang sama: bagaimanakah Kerajaan Pusat menggunakan hasil tambahan ini demi menjaga kepentingan Rakyat?
Sementara itu, jumlah hasil jualan minyak dan gas untuk Kerajaan telah meningkat dari RM106 bilion pada tahun 2005, kepada RM162 bilion pada tahun lalu. Kesimpulannya, semakin kaya Kerajaan semakin sengsara Rakyat jelata.
Sudah jelas bahawa Kerajaan telah meraih pendapatan tambahan penjualan minyak dan gas, tetapi rakyat secara umum tidak begitu bernasib baik. Rakyat Malaysia tenat menampung kos kehidupan yang meningkat hari demi hari.
Pada bulan Oktober yang akan datang, Bajet baru akan diumumkan. Pelbagai ramalan telah dibuat mengenai cara-cara Rakyat kita akan mendapat pertolongan baru. Saya ingin mengajak Rakyat Malaysia berfikir seketika dancuba mengambil pendekatan baru apabila mengkaji Bajet ini. Selalunya, sesudah Rakyat diberi satu dua “gula-gula”, mereka segera melupakan beban-beban lain yang terdapat dalam Bajet tersebut. Mereka hanya sibuk mengenal pasti harga yang turun, cukai yang turun, dan bagi pegawai Kerajaan: bila nak dapat bonus? Kebelakang ini telah pun para pegawai berasa selesa dengan bonus Hari Raya.
Apa kata kita lebih teliti dan lebih berwaspada kali ini? Apa kata kita semua bersepakat menuntut dari Kerajaan secara terperinci, bagaimana wang Rakyat dibelanjakan? Berapa jumlah wang Rakyat akan dijimatkan sekiranya Kerajaan berbelanja secara sederhana dan tidak terlalu boros? Sanggupkah kita menelitikan berapa banyak wang Rakyat diperuntukkan dengan cermat bagi Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertahanan? Adakah pemimpin kita berhati-hati mengendalikan wang kita? Adakah mereka lebih tertarik dengan berpoya dan bergaya, seolah-olah menggunakan wang mereka sendiri? Contohnya banyak:
1. Apa gunanya kita berbelanja RM11 bilion untuk dua kapal selam Scorpene dan membeli kereta kebal berharga RM9 bilion? Tidak lama lagi, Kerajaan akan menjalankan kontrak yang bernilai RM8 bilion untuk membina kapal peronda.
2. Apa guna kita membayar RM6.5 bilion untuk menolong sebuah syarikat air swasta menjelaskan hutang mereka kepada Kerajaan Selangor?
3. Kenapa perlu PM dan DPM berbelanja sebanyak RM28 juta untuk kos perjalanan ke sana-sini dalam masa tiga tahun ketika Rakyat bersusahan?Satu masa dulu, dalam penerbangan ke Wellington, New Zealand, saya ditempatkan di belakang bekas PM New Zealand. Bukan kelas pertama,tetapi kelas ekonomi. Begitulah pemimpin negara lain. Hidup macam manusia biasa.
Janganlah Rakyat Malaysia terlalu mudah puas hati. Kali ini, biarlah kita mempertanggungjawabkan pemimpin-pemimpin kita dengan satu kaedah baru. Biar mereka terangkan kenapa perlu belanja mewah, naik jet persendirian dan berbelanja sebagai orang kaya apabila Rakyat masih menderita? Sepatutnya mereka menunjukkan teladan untuk mentadbir secara cermat dan jangan bertabiat boros.
Yang patut menjadi pegangan kuat setiap warga Malaysia ialah, Kerajaaan mesti sentiasa telus dalam hal-hal pentadbiran negara. Biar semua pemimpin bertanggungjawab terhadap kita semua. Selagi Rakyat bersikap “tidak apa” dan sentiasa tidak memandang berat tentang soal-soal pembaziran, amanah dan kecekapan pemimpin, selagi itulah Rakyat akan terus mendapat pendapatan rendah walaupun sentiasa menanggung kos kehidupan yang tinggi. Oleh Zaid Ibrahim |
0 comments:
Post a Comment