OLEH:
BUDAK CHINI
PERWAKILAN
KPF & WARGA FELDA…JOM LIHAT JANJI PR UNTUK WARGA FELDA (SIRI 4)
Koi
berpendapat melalui apa yang dirancangkan PR untuk warga Felda adalah yang
paling tepat sepertimana asas dibina oleh Allahyarham Tun Abdul Razak dahulu bersama
rakan-rakan pimpinan negara seperti YM Tengku Razaleigh Hamzah dan pentadbir
Felda yang hebat-hebat iaitu YM Raja Muhammad Alias dan Allahyarham Tan Sri
Taib Andak. Tidak terbayang oleh mereka aset tunai Felda berkurang begitu
banyak, meminjam kepada simpanan hari tua pekerja (KWSP), mencantas pengurusan
Felda dan paksaan kuasa politik di dalam koperasi yang disayangi peneroka dan
kakitangan iaitu KPF. Koi nak sambung perturunkan draf perancangan PR andainya
mereka ditakdirkan Allah berkuasa di Putrajaya. Paling penting jika mereka
tidak berjaya sekalipun, warga Felda sudah memberi mesej kepada PM bahawa Isa
perlu dikeluarkan daripada Felda. Azab perpecahan dan ketakutan terhadap Isa
dan gerombolannya sudah tidak tertanggung di hati.
JANJI 7: MENGUTAMAKAN FELDA YANG BERKEBAJIKAN
PR berhasrat menjual segala kepentingan
Felda di dalam MSM Berhad di atas faktor pembelian daripada Tan Sri Robert Kuok
ini menimbulkan persoalan dan kontroversi. Pembelian MSM ini dibuat semasa
lesen import gula mentah hampir tamat dan disaksikan pula modal pembelian MSM
digunakan oleh Tan Sri Robert Kuok untuk membeli saham CSR, sekaligus
membolehkan Tan Sri Robert Kuok memegang lesen eksport gula mentah antara
terbesar dunia, iaitu memegang kira-kira 10% daripada pengeluaran gula dunia.
Sementara ladang tebu di Malaysia tidak mampu memenuhi pasaran gula Malaysia
dan harga gula hari ini tidak mencerminkan kadar harga gula sebenar. Hakikat
bahawa sejak Felda menjadi raja gula, harga gula telah naik 40% tidak
memberikan Felda imej yang baik kerana gula adalah antara barang kawalan yang
diberikan subsidi. Kempen kesihatan dijalankan untuk mengurangkan penggunaan
gula serta langkah aktif mencari alternatif gula pula bakal memberikan impak
tidak baik terhadap masa hadapan MSM Berhad.
PR juga berhasrat menjual atau memajakkan
Menara Felda yang terletak di Platinum Park, Jalan Stonor, berdekatan KLCC. PR
berasa kesal kerana Felda tidak membuat pelaburan berhemah dengan membangunkan
Menara Felda di kawasan pejabat Felda sendiri seperti di Anjung Felda. Arahan
daripada PM Najib supaya membeli Menara Felda ini adalah suatu salah guna kuasa
yang menguntungkan pemilik tanah yang juga mendapat kontrak membina dan
seterusnya menguruskan Menara Felda. PR mengetahui daripada maklum balas anak-anak
syarikat bahawa harga sewa yang bakal dikenakan tidak munasabah serta faktor
lain membebankan kakitangan seperti kesesakan lalulintas, tempat letak kereta
mahal dan tidak mencukupi, peningkatan kos sara hidup seperti makanan harian
dan lokasi sekolah yang jauh dan lain-lain lagi. Sekadar mencari gah kerana
mempunyai alamat di KLCC tidak memberi makna kepada peneroka dan kakitangan
demi memenuhi nafsu elit-elit dan kuasa politik di dalam Felda hari ini.
Hasil penjualan daripada kedua-dua aset
ini, PR menawarkan kompleks pejabat, riadah dan sosial kepada kakitangan
Kumpulan Felda dan peneroka. Kompleks pejabat yang baru akan dibina di kawasan
Felda sedia ada seperti Anjung Felda yang mencukupi untuk perniagaan semua anak
syarikatnya termasuk pembinaan Wisma Belia Felda untuk menempatkan persatuan
dan NGO belia Felda serta membina Wisma Wanita untuk menempatkan persatuan dan
NGO wanita di dalam Felda. Geran khas sebanyak RM3 juta akan diberikan kepada
persatuan wanita PUSPANITA dan SURI supaya aktiviti pembangunan wanita dan
kebajikan dapat dilaksanakan dengan lebih baik
PR juga bercadang menambah baik pusat
penjagaan kanak-kanak sedia ada, pusat sukan dan riadah serta pusat aktiviti
seni dan budaya. Adalah diharapkan dengan prinsip PR yang mengutamakan budaya
Felda berkebajikan yang diasaskan daripada Moto “Negara Berkebajikan” akan
meningkatkan motivasi kakitangan untuk meneruskan usaha membawa Felda ke aras
yang lebih baik.
PR juga telah mengenalpasti lokasi
pembinaan Hospital Pakar Felda, Sekolah Tahfiz & Ilmu Wahyu dan pembinaan
Universiti Felda. Yayasan Felda akan diberikan mandat lebih besar untuk
menguruskan ketiga-tiga permata kebajikan Felda ini yang mampu memberi rahmat
lebih besar dan jangka panjang berbanding pemberian sekali sahaja (one-off)
seperti pemberian BR1M sebanyak RM500 dan ‘Durian Runtuh’ penjualan aset Felda
kepada pelabur luar.
PR juga berhasrat supaya Asrama Semai Bakti
Felda dan MRSM Felda dibesarkan dan diberi peralatan bantu mengajar terkini dan
pakar subjek akan diambil bagi meningkatkan prestasi akademik anak-anak Felda.
PR mensasarkan menghantar sebanyak 300
anak-anak Felda ke luar negara setiap tahun dalam pelbagai bidang dan kepakaran
dan menawarkan biasiswan dan pinjaman sebanyak RM200 juta setiap tahun kepada
anak-anak Felda termasuk kakitangan Felda bagi tujuan pendidikan dan sambungan
belajar. Pembangunan modal insan adalah matlamat utama PR berbanding matlamat
kosong seperti mendapat bangunan yang gah dan berbangga menjadi syarikat no 1
perladangan apabila disenaraikan yang akhirnya wang didapati akan dihabiskan
dalam masa tidak sampai 1 bulan.
Apa
pendapat aouk-aouk sekalian apabila membaca draf di atas? Secara peribadi, koi
berasa terharu dan menyokong penuh usaha Felda Berkebajikan seperti disasarkan.
Koi suka ada hospital pakar untuk warga Felda berbanding ada Menara Felda itu
sendiri. Koi lagi suka adik-adik koi boleh tambah ilmu agama di Pusat Tahfiz
& Ilmu Wahyu. Koi tahu sebelum ini Tan Sri Yusof Noor hampir-hampir
laksanakan perkara ini sebelum ditendang Isa Kaki Lutu. Tentu Tan Sri Yusof
Noor gembira dapat teruskan projek yang baik ini. Koi dapat tahu PR serius nak
memenangi hati warga Felda. Tak lama lagi koi dengar PR nak buka pusat
penerangan dan markas pilihanraya di setiap wilayah Felda untuk mendapat maklum
balas warga Felda terhadap draf janji-janji dibuat. PR juga bakal umum
pakar-pakar penerangan untuk turun ke Felda-Felda khusus untuk menjawab
persoalan bagi draf bakal dikemukakan dan mendekati warga Felda. Antara koi
tahu adalah Prof Aziz Bari akan menerangkan kesan penyenaraian FGV terhadap
ahli-ahli KPF sedia ada seperti pekerja syarikat Felda selepas ini tidak lagi
layak menyertai KPF berdasarkan undang-undang KPF, Datuk Ariff Sabri dan Dr
Rosli (bekas Timb. Gabenor Bank Negara) akan bagi pandangan sebagai ahli
ekonomi, Hishamuddin Rais akan mendekati belia Felda supaya lebih ‘cool dan
trendy’ dan bangkit melawan dan tak lupa pejuang isu Felda dari mula hingga
kini iaitu Mazlan Aliman antara mereka yang bakal turun menjelajah menerangkan
perancangan PR untuk warga Felda. Koi yakin di wilayah nanti RGM dan
pengurus-pengurus akan bantu penuh warga Felda yang nak dengar alternatif yang
sangat-sangat baik ini serta bermatlamat nak singkir Isa dan gerombolannya
seperti Timbalan Pengarah Besar baru yang masuk ikut pintu belakang. Bak kata
pepatah, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan. sayangkan UMNO/Felda pangkah PR
PRU13!
Read more...