Fahaman sekular adalah merujuk kepada perkataan Latin iaitu saeculum yang bererti generasi atau zaman. Dalam agama Kristian sekular bermaksud agama itu bertentangan dengan gereja. Untuk pengertian yang lebih jauh sekular merujuk kepada sesuatu yang dimiliki atau yang bersangkutan dengan dunia lahir sahaja dan tidak ada kena mengena dengan keabadian. Dalam perbincangan ini sekular bermakna kehidupan yang tidak ada kaitan dengan perkara ghaib, atau perkara agama. Dengan begitu sekularisme adalah bermakna satu fahaman yang memisahkan agama dari kehidupan ini, khususnya kehidupan bernegara. Ugama adalah masalah peribadi yang tidak mempunyai kaitan dengan negara. Manusia adalah bebas dari asuhan agama dan ketetapan dari Yang Maha Kuasa. Sekularisme menentang sebarang pengaruh agama dan manusia bebas menentukan kepercayaan dan arah haluan hidupnya sendiri.
Teras kepada sekularisme ialah politik yang berasaskan kepada perkauman atau pun kebangsaan, atau apa yang kita panggil nasionalisma. Manakala ekonominya pula berasaskan laissez faire dan falsafah individualisma.Ia kemudiannya merebak ke dalam masyarakat dan menjadi sebahagian dari gaya hidup mereka yang merupakan pemujaan kepada modenisma, materialisma dan pemujaan hawa nafsu.
Menelusuri sekularime di Malaysia, ia sebenarnya datang bersama-sama penjajah Inggeris yang menakluk negara ini dari tangan Belanda. Dalam Perjanjian Pangkor pada 1874 antara Sultan Abdullah (Sultan Perak) dan Sir Andrew Clarke, syarat penting dalam perjanjian itu ialah residen Inggeris akan menasihati Sultan dalam semua hal pentadbiran negeri kecuali mengenai agama Islam dan adat Istiadat Melayu. Dengan semikian segala urusan pentadbiran dan perlaksanaan undang-undang negeri terserah kepada Inggeris yang pastinya mengikut sistem dan acuan mereka yang tidak pernah memikirkan soal agama dan sebagainya. Di sini para Sultan sudah kehilangan hak politik dan pemerintahan dan tidak lagi berkuasa untuk mencegah usaha-usaha menanamkan fahaman sekular yang dibawa oleh Inggeris. Dan akhirnya berlakulah apa yang dinamakan pemisahan politik dari agama, atau agama dari negara.
Bila Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos, 1957 dasar pemisahan di antara agama dan negara itu diteruskan dan dikekalkan dalam bentuk konstitusi iaitu dalam Perlembagaan Persekutuan . Dalam Bahagian 1, ceraian 1,2,3 dan 4, soal agama diserahkan kepada Sultan dan Majlis Agama Islam tiap-tiap negeri manakala soal pemerintahan diserahkan kepada wakil rakyat tidak kira samada Islam dan bukan Islam. Akhirya terpisahlah Islam dari pemerintahan kerajaan Tanah Melayu itu.
Sebagai langkah untuk menguatkan lagi sekularisme, penjajah Inggeris merancang dan telah pun berjaya melahirkan segolongan pemimpin di kalangan Melayu Islam sendiri yang telah disekularkan dengan sistem pendidikan. Golongan ini kemudiannya menjadi pentadbir, perancang negara dan pemimpin yang menjadi agen kepada kesinambungan dasar penjajah itu sendiri.
Golongan ini kemudian berjaya memesongkan akidah dan perjuangan masyarakat Islam di Tanah Melayu, dan mereka seterusnya berjaya menanamkan fahaman sekular itu ke dalam tubuh masyarakat Melayu sehingga orang-orang Melayu yang beragama Islam itu turut memuja fahaman kebendaan dan sesuatu yang berlandaskan hawa nafsu.
Bidang yang paling teruk menerima kesan sekularisasi adalah bidang pendidikan. Ini kerana pendidikan adalah merupakan saluran dan alat terpenting untuk mencorakkan haluan hidup manusia itu sendiri. Stamford Raffles adalah seorang pegawai Inggeris yang bertanggung jawab mengemukakan rancangan halus untuk mencapai matlamat tersebut. Melalui pendidikan beliau merencanakan Singapura sebagai pusat bagi kebangkitan semula peradaban asli kuno dan menyegarkan menerusi penyebaran perluasan pengaruh Inggeris dan faedah-faedah pendidikan dalam kemajuan ekonomi Barat. Beliau telah mengemukakan gagasan pusat Pengajian Asia Tenggara bagi mencapai matlamat ini. Beliau berhasrat untuk melahirkan bangsa-bangsa yang bijaksana dan terpelajar selaku orang suruhan yang jujur kepada sistem pentadbiran penjajah. Ia juga menyarankan supaya pendidikan untuk anak-anak Melayu mestilah menerusi tulisan rumi dalam usaha mengurangkan pengaruh Islam di kalangan orang-orang Melayu.
Selanjutnya perkara yang menjadi perhatian Inggeris ialah bidang ekonomi. Mereka memperkenalkan sistem kapitalis yang mengagungkan riba, jika tidak berasaskan riba sesuatu sistem itu tidak akan dapat dijalankan. Sistem ini berasaskan dasar laissez-faire yang berteraskan kebebasan individu yang hanya mementingkan keuntungan peribadi. Manusia diajak berlumba-lumba untuk mengumpul harta dan kekayaan di mana akhirnya tindas menindas dan tipu menipu turut berlansung dan menjadi amalan masyarakat. Akhirnya manusia menjadi haiwan ekonomi, dan mereka pun memilih cabang-cabang Islam yang hanya sesuai dengan jiwa mereka, dan tidak lagi berfikir untuk menegakkan Islam dan melaksanakan jihad seperti yang dikehendakki Islam.
Demikianlah masyarakat Melayu mula membenci orang-orang yang hidup sederhana, yang tidak menyintai dunia, dan yang mengamalkan sikap zuhud. Segala-galanya dinilai dengan wang ringgit. Masalah negara dilihat penyelesaiannya dari sudut ekonomi, dan bukannya dengan cara yang dikehendakki oleh Islam. Kemudian pada dekad-dekad terakhir lapan puluhan lahirlah Dasar Ekonomi Baru, Amanah Saham Nasional, 30 peratus penyertaan bumiputra dalam sektor perusahaan, Loteri Kebajikan Masyarakat, dan berbagai lagi perkara yang menjurus kepada soal kebendaan semata yang kesemuanya bertentangan dengan prinsip Islam.
Aspek politik adalah yang paling utama menerima kesan dari sekularisme. Perlembagaan Malaysia adalah bukti yang paling jelas dalam hal ini. Ia menafikan kekuasaan Allah, Rasulnya dan AlQuran. Politik dan agama menjadi terpisah.Sedangkan sepertimana yang kita tahu dalam Islam agama dan politik adalah satu.Tidak bercerai berai. Hijrahnya Rasul saw adalah untuk mendirikan negara Islam di Madinah. Ini bermakna Islam dan politik tidak dapat dipisahkan, di mana ia bertentangan sama sekali dengan hakikat perjalanan politik di Malaysia. Politik kita sekarang adalah acuan dari Barat, politik yang mengutamakan nafsu dan kebendaan.
Apabila benda-benda menguasai manusai, maka mereka pun tenggelam dalam suasana hidup yang tidak ada berpedoman, semuanya bertuhankan nafsu. Sebab itulah hidup masyarakat kita hari ini sedang menuju ke arah kehancuran, akibat merebaknya pengaruh sekularisme itu, bahkan ianya dibelai pula oleh pemerintah kita, oleh kerajaan BN, menjadikan orang Islam di Malaysia terlalu individualistik, hidup mementingkan diri, mengejar kemewahan dan sebagainya. Projek-projek membazir sudah menjadi semacam satu pemujaan, semuanya adalah kerana faham kebendaan telah berakar umbi ke dalam jiwa Melayu yang mengaku beragama Islam. Mampukan orang-orang Melayu sorot balik ke belakang? Soalnya terletak kepada orang Melayu sendiri. Namun pengaruh sekularisme bukanlah semudah itu untuk dibuang, apalagi ia telah tertanam ke dalam jiwa dan dijunjung pula oleh kaum pemerintah. Inilah halangan-halangan utama untuk menyebarkan akidah Islam, apalagi untuk memberikan kefahaman tentang negara Islam kerana fahaman itu amat bertentangan dengan jiwa Islam yang murni itu.
Dan jika sekiranya kita berminat untuk menegakkan Islam, kita haruslah memerangi fahaman ini yang menjadi halangan utama ke arah merealisasikan cita-cita Islam itu. Bersediakah kita?
Read more...