Menilai Kembali Barisan Nasional
Manifesto Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum ke-9 pada tahun 1995 bertemakan, "Berwawasan,
Adil dan Efisien,". BN berjaya memenangi 162 kerusi Parlimen dan 338 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Dalam pilihanraya umum tersebut, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam kerajaan. Beliaulah Menteri
Kewangan, Timbalan Perdana Menteri, Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional.
Anwar Ibrahim memberi sumbangan yang besar dalam kemenangan besar BN itu. Pilihanraya 1995 itu
merupakan pilihanraya umum yang pertama sejak Anwar memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Harapan rakyat kepadanya untuk membawa perubahan adalah tinggi. Dia dilihat sebagai bakal Perdana
Menteri.
Rasuah Di Kalangan Pemimpin Kerajaan BN
Tetapi Anwar gagal untuk membawa perubahan dalam Umno dan BN yang memerintah itu. Pada 2
September 1998, lima tahun selepas dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, Anwar disingkirkan dari
jawatan dan kini merengkok dalam penjara. Tuduhan salahguna kuasa polis dan salahlaku seks direka-reka
semata-mata.
Isu sebenar ialah rasuah dan penyelewengan dalam kerajaan yang dilakukan oleh pucuk
pimpinan tertinggi dalam kerajaan BN itu sendiri. Perdana Menteri dan menteri-menteri kanan yang
rapat dengan Perdana Menteri itu adalah pelaku-pelaku utama rasuah dan penyelewengan itu.
Anwar Lancarkan Perang Lawan Rasuah
Anwar cuba melancarkan perang untuk membasmi rasuah dan penyelewengan itu. Ketika beliau memangku
jawatan Pemangku Perdana Menteri beberapa minggu ketika Dr Mahathir Mohamad bercuti di luar negara,
Anwar Ibrahim telah membentangkan Akta Pencegahan Rasuah Tahun 1997. Inilah kesalahan
besar Anwar yang tidak dapat dimaafkan oleh Perdana Menteri dan mereka yang bersubahat dengan
Perdana Menteri. Mereka berasa tidak selamat dan terancam dengan Pindaan Akta Pencegahan Rasuah
1997 itu.
Kenapa? Kerana Akta itu boleh mengheret seseorang Menteri yang telah berhenti dari jawatannya
ke mahkamah jika ada dakwaan kukuh dia berlaku rasuah semasa memegang jawatan Menteri
itu dulu. Akta itu memberi tempoh 10 tahun selepas berhenti untuk mendakwa Menteri yang berlaku rasuah
itu.
Menteri-Menteri Rasuah Cemas
Akta sebelumnya tidak memberi peruntukan sedemikian. Jika seseorang Menteri itu sudah kenyang
membuat rasuah, dia boleh memilih meletak jawatan. Selepas itu, dia selamat dari dakwaan kerana tidak
ada peruntukan bagi Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk mendakwa Menteri berkenaan. Jika hendak
didakwa seseorang Menteri yang rasuah, mestilah didakwa sebelum ia sempat meninggalkan jawatannya.
Pindaan inilah yang menjadi Menteri-Menteri yang melakukan rasuah berasa cemas. Mereka bimbang
jika tiada Mahathir dan Anwar menjadi Perdana Menteri, Anwar akan menggunakan Akta
Pencegahan Rasuah 1997 itu untuk mendakwa mereka. Inilah kesalahan utama Anwar bagi mereka.
Konspirasi Peringkat Tertinggi Bermula
Lalu selepas itu, rintitan sejarah pun terjadi seperti diketahui umum. Surat-surat layang bermula. Buku 50
Dalil dikarang dengan tergesa-gesa, tuduhan liwat dan salahlaku seks dicambah, ditetaskan dan dibiakkan.
Daim Zainuddin, Megat Junid, Rahim Thamby Chik, Aziz Shamsuddin, Zela Jalil, Ummi Hafilda, Azizan
Abu Bakar, Khalid Jeffri masing-masing bertemu, berbincang, merancang, menulis surat, janji-janji wang
dan kontrak bertukar tangan.
Kes Buku 50 Dalil Masih Tidak
Dibicarakan
Yang menulis buku 50 Dalil Mengapa Anwar Ibrahim Tidak Boleh Menjadi Perdana Menteri masih
tidak dibicarakan di mahkamah atas tuduhan jenayah fitnah walaupun buku itu telah diputuskan
oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai memfitnah Anwar.
Anwar telah membuat tuntutan sivil ke atas buku tersebut. Dia berjaya. Injunksi telah diberikan oleh
mahkamah. Buku itu bersifat fitnah dan dilarang disebarkan. Pejabat Peguam Negara kemudian membuat
pertuduhan jenayah ke atas Khalid Jeffri yang menulis buku itu. Tetapi perbicaraan ke atas Khalid Jeffri
masih tidak diadakan. Hakim mahkamah yang memberi injunksi kepada Anwar Ibrahim
dipindahkan ke Johor Bahru. Mengapa ini semua berlaku? Tidak ada konspirasi?
Orang Yang Difitnah Yang Dipenjarakan
Sebaliknya Anwar Ibrahim, orang yang difitnah di dalam buku 50 Dalil itu yang dulu masuk penjara. Kenapa
tidak perbicaraan buku 50 Dalil itu dibicarakan dulu? Tidakkah Anwar lebih dahulu membawa saman malu
ke atas buku itu? Waktu itu beliau masih Timbalan Perdana Menteri?
Sudah dikeluarkan perintah injunksi buku 50 Dalil itu tidak boleh diedarkan pada umum, kenapa
Ibu Pejabat UMNO mengedarkan buku tersebut ke dalam beg-beg perwakilan Umno dalam
Perhimpunan Agung Umno Tahun 1998. Secara kebetulan? Tiada konspirasi untuk menjatuhkan Anwar
dalam Umno?
Persubahatan Terjahat Bermula
Inilah bentuk keadilan sistem mahkamah yang tidak lagi bebas. Fitnah disebarkan dari Ibu Pejabat
UMNO sendiri. Konspirasi pun bermula. Ada orang bernama Ummi Hafilda yang tersepit kewangan kerana
banyak berhutang sanggup menulis surat kepada PM dan terlibat dengan konspirasi menjatuhkan Anwar.
Dia menafikan mempunyai masalah kewangan dalam perbicaraan Anwar. Tetapi Mahkamah
Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Oktober lalu mengisytiharkan ummi Hafilda muflis kerana tidak
membayar bil RM300,000 untuk iklan demi memenuhi kontrak Megat Junid. Muflis ertinya
bangkerap. Balasan berlaku di depan mata.
Pemandu Tiba-Tiba Menjadi Pengarah
Syarikat
Ada pemandu kereta, yang pendidikan formalnya tidak seberapa, merebut tawaran menjadi
pengarah syarikat. Dengan tiba-tiba, dia hidup mewah, punya syarikat dan pakai kereta mahal.
Mengapa? Kerana manusia bernama Azizan Abu Bakar ini sedia untuk bersubahat membuat kerja jahat
memfitnah Anwar kononnya meliwat. Sekarang, Azizan Abu Bakar sendiri terpenjara tiga bulan kerana
berkhalwat dan percubaan untuk melakukan persetubuhan haram. Tilamnya pula yang diusung
ke Mahkamah Syariah Alor Gajah, Melaka. Satu lagi pembalasan berlaku di hadapan mata.
Anwar Salahguna Kuasa?
Kesalahan Anwar bukan kerana kes yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sekarang.
Juga bukan kesalahan salah guna kuasa ke atas Polis dalam perbicaraannya yang terdahulu sehingga
beliau dipenjara 6 tahun. Bagaimana Anwar hendak menyalahgunakan kuasa Polis sedang Polis tidak
terletak di bawah bidang kuasanya. Polis terletak di bawah Menteri Dalam Negeri. Waktu itu, Menteri Dalam
Negeri ialah Dr Mahathir Mohamad. Anwar Ibrahim adalah Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana
Menteri. Dia tidak ada kuasa ke atas Polis. Demikian hujah utama para peguam Anwar Ibrahim. Tetapi
Hakim Datuk Augustine Paul tetap menjatuhkan hukum mengikut skrip yang telah disiapkan. Benar salah,
tidak dihiraukan kerana hukumannya telah ada, iaitu Anwar mesti dipenjarakan. Anwar mesti
disimpan dalam penjara. Demikian kehendak orang nombor satu. Apabila Mahathir dipanggil ke
Mahkamah sebagai saksi, Hakim Augustine Paul tidak membenarkan. Kenapa?
Memerangi Rasuah Menerima Padah
Isu utama sehingga Anwar Ibrahim dipecat dan dipenjara adalah kerana dia memerangi
perbuatan rasuah dan penyelewengan di dalam kerajaan BN. Bagaimana dia tahu rasuah dan
penyelewengan itu berlaku?
Pertama, Anwar sudah 16 tahun duduk dalam Kabinet. Bermula dengan jawatan rendah Timbalan Menteri di
Jabatan Perdana Menteri selepas beliau memenangi Pilihanraya Umum tahun 1982. Kemudian, beliau
memegang pelbagai jawatan menteri. Dari Menteri Belia, Sukan dan Kebudayaan, Anwar kemudian
memegang jawatan Menteri Pertanian, Menteri Pendidikan dan akhirnya Menteri Kewangan. Beliau
kemudian menjadi Timbalan Perdana Menteri dan pernah memangku jawatan Perdana Menteri buat
beberapa ketika. Ertinya Anwar pernah berada di koridor kuasa begitu lama dan pernah duduk di tampuk
kekuasaan itu untuk beberapa ketika.
Mana Bukti Anwar Rasuah Wang?
Kalau Anwar sendiri berlaku rasuah, sudah tentu senang sahaja Mahathir heret dia ke mahkamah dan
dakwa Anwar. 16 tahun dalam kerajaan, bukannya tempoh yang pendek. Rasuah itu macam bangkai.
Bangkai berbau. Rasuah juga berbau.
Beranikah Anwar memerangi rasuah jika dia sendiri rasuah? Orang yang duduk di rumah kaca tidak
berani membaling batu ke rumah jirannya. Orang Melayu berkata, menepuk air di dulang terpercik ke muka
sendiri. Tetapi Anwar begitu tekad melawan rasuah. Kerana dia tidak duduk di rumah kaca dan dulangnya
kering bersih tak ada air. Kalau dia menepuk dulang tak ada air yang terpercik ke mukanya.
Salahkah Mempertahankan Marwah Diri?
Tuduhan rasuah yang dikenakan ke atas Anwar sehingga 6 tahun terpenjara adalah kerana dakwaan
kononnya beliau menyalahgunakan kuasa polis untuk menukar pengakuan Azizan Abu Bakar dan Ummi
Hafilda. Peguambela Anwar, Raja Aziz Addruse berkata di mahkamah, apa salahnya seseorang yang tidak
berbuat salah melakukan usaha untuk menjaga nama baiknya dan membersihkan dirinya yang tidak
bersalah itu dari difitnah dan dicemar? Semua orang yang benar akan mempertahankan marwah dirinya
apabila nama dan maruahnya diperhina dan dimalukan. Demikian kata peguam terkenal itu. Malah,
Mahkamah Tinggi itu diberitahu bahawa Anwar tidak pernah mengarah-arah pihak Polis bagaimana untuk
melakukan kerjanya. Anwar sekadar membuat laporan polis akan tohmahan dan fitnah ke atas dirinya.
Kenapa Mahathir Dan Konco-Konconya Marah
Mana wang yang Anwar telah kebas dan selewengkan jika beliau melakukan rasuah selama menjadi
menteri dan orang nombor dua dalam kerajaan? Tidak ada. Tetapi Anwar mempunyai rekod yang banyak
tentang kes rasuah dan penyelewengan menteri-menteri dalam kerajaan. Ini yang menjadikan orang-orang
UMNO dan BN, terutama Mahathir dan konco-konconya, begitu marah kepada Anwar. Anwar dituduh cuba
membuka pekung di dada mereka.
Cara Anwar Mendapat Maklumat Tentang Penyelewengan
Bagaimana Anwar boleh mendapat akses akan segala dokumen dan laporan salahlaku rasuah dan
penyelwengan itu. Ada dua saluran sebenarnya. Anwar telah dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa
Kabinet tentang Penyelewengan di dalam kerajaan.
Kedua Anwar juga menjadi pengerusi Jawatankuasa Disiplin UMNO (Baru). Apakah fungsi Pengerusi
Jawatankuasa Kabinet menentang penyelewengan di dalam kerajaan? Salah satu ialah Anwar menerima
segala macam aduan, komplen, laporan tentang kesalahan rasuah dan penyelewengan pegawai-pegawai
kerajaan dari yang kecil hingga setinggi-tingginya, termasuklah menteri-menteri dan Perdana Menteri
sendiri.
Tembelang Rasuah Menteri-Menteri BN Terdedah
Sebab itulah Anwar tahu sangat akan rasuah yang dilakukan oleh Daim Zainuddin, Rafidah Aziz, Rahim
Thamby Chik, Eric Chia, dan Mahathir sendiri. Anwar juga tahu rasuah yang didakwa berlaku ke atas Ketua
Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor, Ketua EPU waktu itu, Tan Sri Ali Abul Hassan,
yang kini jadi Gabenor Bank Negara. Anwar juga dapat aduan akan tuduhan rasuah Peguam Negara
sekarang, Tan Sri Mohtar Abdullah. Anwar juga mendapat maklumat rasuah Samy Vellu dan Ling Liong
Sik. Malah, rasuah Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan penyelewengan PM berhubung perniagaan
anak-anaknya semua berada dalam pengetahuan Anwar Ibrahim. Termasuk aduan rasmi kepada BPR akan
tiga orang anak PM yang memiliki lebih 200 buah syarikat.
Rasuah Di Kalangan Pemimpin Umno
Tidak itu sahaja. Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Umno, Anwar Ibrahim juga menerima
bermacam-macam laporan dan aduan tentang perlakuan rasuah pemimpin-pemimpin Umno dari ahli-ahli
Umno sendiri. Seperti diketahui umum, perebutan kuasa dan jawatan dalam Umno sangat sengit.
Masing-masing semuanya ada kes rasuah dan penyelewengan, yang selama ini orang di luar Umno
hanya dapat mengagak secara rambang sahaja. Tetapi dalam proses perebutan jawatan Umno yang sengit
di peringkat Cawangan, Bahagian apatah lagi Majlis Tertinggi, maka bertaburlah bukan sahaja surat-surat
layang, tetapi laporan-laporan sah dan benar akan kes-kes rasuah yang dilakukan oleh orang-orang Umno,
terutama yang memegang jawatan kerajaan.
Wabak Rasuah Yang Menjolok Mata
Dengan sumber-sumber maklumat dari pelbagai aduan serta laporan, maka begitu jelas rasuah sudah
keterlaluan dalam kerajaan BN. Perbuatan rasuah itu telah melibatkan wang negara dan rakyat bernilai
beribu-ribu juta ringgit. Anwar akhirnya merasakan gejala itu tidak boleh dibiarkan berterusan. Maka Anwar
pun bertindak. Apabila Mahathir tidak ada dalam negeri kerana bercuti, Anwar mengambil
kesempatan membentangkan Akta Pindaan Pencegahan Rasuah 1997. Adakah tindakan Anwar itu
salah? Adakah Anwar merugikan negara? Adakah Anwar menjadi agen asing kerana membentangkan
pindaan Akta Pencegahan Rasuah itu? Adakah Anwar mengkhianati bangsa, agama dan negara kerana
berbuat demikian?
Sanggup Terima Risiko
Adakah Anwar tidak sedar bahawa Mahathir akan marah kerana dia membawa pindaan itu ke Parlimen
ketika Mahathir tidak ada dalam negeri? Anwar sedar. Kalau Anwar jenis penakut menurut perintah macam
Abdullah Ahmad Badawi, maka Anwar tentu tidak akan berani buat demikian. Tetapi Anwar berani
mengambil risiko. Yang utama baginya ialah perbuatan jahat mesti dihapuskan. Negara dan rakyat mesti
diutamakan.
Pindaan Akta Pencegahan Rasuah 1997
Bolehkah menghapuskan rasuah sekadar menghantar memorandum dan membuat usul-susul dalam
seminar sahaja? Bolehkah membanteras rasuah sekadar menjerit-jerit sahaja? Hantar memorandum dan
menjerit itu pun penting. Tetapi membuat perubahan radikal dalam undang-undang adalah saluran yang
tepat. Inilah yang Anwar telah lakukan.
Rasuah tidak boleh ditentang sekadar dengan pujuk rayu dan ugut-ugut sahaja? Tidak boleh. Oleh kerana
negara berjalan atas dasar hukum dan undang-undang, jadi undang-undang rasuah itu mesti diperkuatkan,
diperluaskan bidang kuasanya dan dijadikan senjata yang berkesan untuk memerangi gejala yang
merosakkan itu. Inilah yang Anwar telah lakukan. Untuk itu, beliau dipecat, diseksa, dituduh dan kini
dipenjarakan.
Bijak Mengambil Kesempatan
Selepas pindaan Akta Pencegahan Rasuah 1997 itu dibentangkan oleh Anwar di Parlimen dan diluluskan,
rakyat semakin yakin akan komitmen Anwar. Ini satu kejayaan politik Anwar. Memang Anwar pandai
mengambil kesempatan ketika Mahathir tiada dalam negeri. Dia orang politik yang bertanggungjawab.
Pandai mencari kesempatan terbaik untuk bertindak. Dia bukan pengikut membuta tuli. Tetapi kesempatan
yang dia ambil itu untuk keburukan atau kebaikan negara?
Kes Skandal Perwaja Ke Parlimen
Tetapi tidak itu sahaja. Selepas pindaan Akta Pencegahan Rasuah 1997 itu diluluskan, kemudian sekali lagi
ketika Mahathir tiada dalam negeri, Anwar bertindak lagi. Kali ini, dia membentangkan laporang perbuatan
rasuah dan penyelewengan dalam syarikat besi waja Perwaja milik kerajaan. Tan Sri Eric Chia, yang
menjadi kawan rapat Mahathir, yang memegang jawatan Pengerusi Eksekutif Perwaja, telah melakukan
rasuah dan penyelewengan sehingga syarikat itu rugi hampir RM3,000 juta. Tidak itu sahaja, syarikat
Perwaja, milik kerajaan, itu juga dibebankan dengan hutang hampir RM7,000 juta. Kesemuanya hampir
RM10 bilion dibebankan ke atas kerajaan angkara rasuah dan penyelewengan dalam syarikat
Perwaja itu.
Mahathir Terlibat Dalam Skandal
Perwaja
Anwar dedahkan ini semua dalam Dewan Rakyat di Parlimen, bukan di kedai kopi atau kelab-kelab. Apabila
dia terpenjara, dari dalam penjara, Anwar membuat laporan polis secara rasmi, dengan dikepil dua pucuk
surat Perdana Menteri kepada Eric Chia berhubung perjalanan syarikat Perwaja tersebut. Surat-surat itu
menunjukkan secara jelas betapa Mahathir sendiri terlibat melakukan salah jenayah dalam pengurusan
Perwaja kerana menyalahi perjalanan dan prosedur urusan kewangan kerajaan.
Ertinya penyalahgunaan kuasa telah berlaku. Mahathir terlibat sama melakukannya. Negara rugi
beribu juta. Eric Chia masih bebas. Mahathir masih bebas. Tetapi Anwar dibelenggu di penjara Sungai
Buloh! Anwar dedahkan ini di Parlimen ketika dia bebas, dan dari dalam penjara ketika kebebasannya
dirampas, Anwar masih melawan terus.
Perwaja Mercu Tanda Rasuah Dan
Penyelwengan Mahathir
Anwar cukup tahu apabila beliau membawa ke Parlimen akan penyelewengan Perwaja dengan
laporan lengkap dari syarikat akaun Price Waterhouse, Mahathir tentu marah. Kalau Anwar penakut
dan sayangkan jawatan menteri dan TPM, buat apa dia cari penyakit? Lebih baik diam. Bila Mahathir dah
turun nanti, bolehlah buat sesuatu kemudian. Tetapi Anwar tidak boleh tunggu lama lagi. Perbuatan rasuah
dan penyelewengan itu mesti ditentang. Itu komitmennya.
Idealisme Melawan Rasuah Sejak Muda
Sekarang Anwar telah dipenjara 6 tahun. Perbicaraan kedua ini kalau Hakim masih tunduk kepada Perdana
Menteri, maka akan ditambah lagi hukuman penjara ke atas Anwar. Anwar telah mendedahkan dirinya
kepada bahaya di penjara lebih lama apabila beliau membuat laporan polis dari penjara.
Dokumen-dokumen yang dikepilkan oleh Anwar tentang kesalahan rasuah dan penyelewengan
Mahathir, Daim Zainuddin, Rafidah Aziz dan Rahim Thamby Chik itu semuanya dikelaskan
sebagai rahsia rasmi. Anwar boleh didakwa melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA). Hukumanya penjara
mandotori.
Ertinya risiko terpenjara lebih lama sentiasa berada di atas kepala Anwar. Tetapi bekas Timbalan Perdana
Menteri itu, bekas Presiden ABIM, bekas pemimpin pelajar, Anwar lakukan ini semua kerana perjuangan
hidupnya sejak muda untuk membanteras rasuah dan penyelewengan.
Manifesto BN Satu Retorik Politik Saja
Jadi ternyata Manifesto BN dalam pilihanraya 1995 yang berbunyi Berwawasan, Adil dan Efisien itu adalah
satu retorik politik sahaja. Tiada wawasan sekiranya pemerintahan sesebuah negara itu penuh dengan
rasuah dan penyelwengan. Tiada keadilan sekiranya yang rasuah dan menyeleweng tidak dihukum,
sebaliknya yang memerangi perbuatan rasuah dan penyelewengan dipenjarakan. Tiada sebuah kerajaan
yang efisen sekiranya rasuah dan penyelewengan berakar umbi dalam birokrasi pentadbiran dan meluas di
kalangan Jemaah Menterinya.