Powered by Blogger.
ISTIQOMAH

SILA EMAIL KE GUA JIKA INGIN BERKONSI PENDAPAT ATAU APA SAHAJA

BUNTATJ@GMAIL.COM

BLOGER-BLOGER YANG NAK LINK KE BLOG NI AMAT DIALU-ALUKAN DAN GUA MOHON LINKKAN BLOG INI KE BLOG TUAN2 DAN PUAN2, SILA MAKLUMKAN GUA MELALUI EMAIL ATAU DI RUANG KOMEN

Wasiat Saidina Ali...

1. Dosa yang paling besar ialah takut.
2. Bahaya yang paling besar ialah putus asa.
3. Berani yang paling besar ialah sabar.
4. Hadiah yang paling Besar ialah kesempatan.
5. Modal yang paling besar ialah "PERCAYA PADA DIRI SENDIRI"

Firman Allah:


وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٍ۬

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang zalim) dengan apa-apa jenis kekuatan yang mampu kamu sediakan (al-Anfal: 60)


Followers

Thursday, November 22

Pejuang islam yang dilupakan siri 2

Dr Burhanuddin ini adalah seorang tokoh agama yang disegani di zaman pra dan pasca-kemerdekaan. Kalau zaman tersebut sudah ada istilah Protaz, maka layaklah beliau menyandang gelaran tersebut memandangkan beliau juga adalah seorang doktor homeopati. Tetapi kita patut bersyukur kerana beliau tidak memperjuangkan benda yang remeh-temah seperti kebanyakkan protaz hari ini.

Dr Burhanuddin adalah antara orang-orang kuat dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada 17 Oktober 1945. Antara tokoh-tokoh penting yang lain dalam PKMM ialah Pak Sako, Mokhtaruddin Lasso, dan Ahmad Boestaman. PKMM adalah parti kedua di Tanah Melayu yang memperjuangkan nasib orang-orang Melayu. Parti pertama adalah Kesatuan Melayu Muda, KMM yang ditubuhkan pada tahun 1938. Sesetengah orang salah faham dengan menganggap UMNO adalah parti pertama yang membela nasib bangsa Melayu. Padahal begitu banyak lagi parti-parti Melayu sebelum UMNO seperti Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Majlis Agama Tertingga Se-Malaya (MATA), dan Barisan Tani Se-Malaya (BATAS) yang menjadi sayap utama kepada PKMM.

Tetapi malangnya, kita seolah-olah hanya melihat jasa UMNO tanpa mengetahui jasa-jasa yang ditaburkan oleh parti-parti dan pejuang-pejuang yang sebelumnya. Tanpa hembusan api patriotik dari mereka, UMNO ketika itu pasti tidak boleh berjaya. Namun, kita tetap lupa. Tepat apa yang dikatakan oleh Dr Mahathir: "Melayu mudah lupa". Dan oleh kerana UMNO adalah parti utama orang-orang Melayu hari ini, maka makin ramai ahli-ahlinya yang semakin lupa kepada sejarah tepat bangsa kita yang semakin membonyot layu ini.

Berbalik kepada kisah Dr Burhanuddin al-Helmi ini, beliau telah mengalami sepak terajang kemelut kemerdekaan yang berbagai-bagai, seperti dituduh sebagai radikal dan bersifat pengganas oleh British. Malah pada tahun 1948, ramai ahli PKMM dan API yang ditangkap dan dipenjarakan. Dipendekkan cerita, Dr Burhanuddin al-Helmi ini juga merupakan Presiden PAS yang ke-3 selepas Dr Hj Abbas Alias.

Jadi, apa perkara pokok yang saya ingin bawa sebenarnya dengan mendedahkan kisah Dr Burhanuddin al-Helmi dan sejarah parti politik tanah air secara sepintas lalu ini?

1) Kalau nak berjuang untuk Islam, pastikan bukan berkaitan perkara yang sangat remeh-temeh. Berjuang biar betul-betul. Kita lihat Protaz Prof Dr Burhanuddin. Beliau tahu apa prioriti zamannya, iaitu mendapatkan kemerdekaan. Sebab kalau Tanah Melayu tak merdeka, habis punah akidah anak-anak Islam. Dan habis juga kekayaan Tanah Melayu diambil oleh si puak penjajah. Sekarang kita lihat zaman kita pula. Apakah prioriti kita? Kita jangan terikut-ikut style Protaz zaman sekarang yang kadang-kadang tu mengarut-ngarut idea perjuangannya.

2) Ketahui sejarah kita yang sebenarnya. Jangan fanatik dengan mana-mana parti, baik PAS, UMNO, Keadilan, Gerakan, MCA, MIC, dan sebagainya. Pastikan kita faham dan selidik terlebih dahulu kenapa kita memillihnya. Jangan main ikut-ikut orang. Pendirian jangan ala-ala lalang ditiup angin.

3) Ketiganya, Dr Burhanuddin al-Helmi adalah seorang tokoh terbaik untuk memberikan kefahaman kepada kita semua mengapa kaum muda/'Salafi'/Wahhabi (atau apa pun kamu nak panggil sebab nama tak mengubah apa-apa), bukanlah pilihan terbaik untuk kita mengembangkan Islam ini di seantero dunia. Artikel di bawah ini, yang saya petik dari blog Malakian, amat menarik untuk kita semua baca:

Bagi memudahkan mendekati ilmu tasawwuf dan tariqat-tariqatnya bagi mencari ilmu di zaman kebendaan dan ilmiah ini, eloklah lebih dahulu mempelajari ilmu fizik kemudian pelajari ilmu metafizik atau maa wara'a al-taba'ah, ilmu falsafah dan ilmu perbezaan antara agama-agama.

Dalam hal ini rasanya eloklah saya ceritakan sedikit hal-hal saya dengan tasawwuf ini. Ayahanda saya adalah seorang tasawwuf dan bertariqah Naqshabandi serta dengan lurus dan wara'nya. Maka saya dari kecilnya dilatih secara wara'nya dan mesti kuat beribadat mengikut-ngikut dia sembahyang berjamaah, membaca Quran dan [Maulid karya] al-Barzanji, ahzab dan zikir. Sebagai orang muda tiadalah saya tahu apa-apa. Saya ikut-ikut itu kerana malu dan segan jua. Saya lakukan dengan berat kerana kawan-kawan lain dapat lepas dan bermain-main saya tidak.

Bila saya lepas belajar ke luar, di Indonesia, dapat saya belajar bahasa Belanda dan guru-guru agama saya pula 'ulama-ulama' kaum muda dan berfaham progresif dalam Islam, maka fikiran saya terbentuk dengan membaca keterangan-keterangan moden dan majalah-majalah moden seperti al-Manar dan al-Fath. Saya pelajari ilmu-ilmu usul fiqh, usul al-ahkam, mazahib al-arba'ah (mazhab empat) dan membaca kitab-kitab Bidayah al-Mujtahid, Subul al-Salam, kitab-kitab [Syeikh al-Islam] Ibn Taimiyyah, Ibnu al-Qayyim, al-Shaukani, [Syeikh] Abdul Wahhab al-Wahhabi (yakni [Syeikh] Muhammad Abdul Wahhab), al-Sayyid Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh, Rashid Rida dan akhirnya Tantawi. Saya pun terbalik bertentang dengan ayah saya dalam pendirian. Saya memusuhi jumud kolot.

Pada saya, tasawwuf dan tariqatnya itu suatu ajaran mematikan semangat dan campur-aduk dengan bid'ah. Pada saya kitab tasawwuf seperti karangan Imam Ghazali (w.505H/1111M) itu saya pandang seperti madu bercampur racun, kerana saya pandang dari segi bahas fiqh, tafsir dan hadith tidak kuat menurut kaedah rawi dan sebagainya. Ini berlaku di antara 1927 hingga tahun 1940. Pendeknya ilmu tasawwuf saya ketepikan. Nafsu saya tidak mahu langsung kepadanya, apa lagi sebagai seorang wartawan muda pada tahun 1937 saya keluarkan majalah Taman Bahagia lalu tertangkap kerana saya didapati oleh penjajah berpolitik tegas dan berbahaya kepada penjajah dan akan membangkitkan kesedaran rakyat, hinggalah sekarang 'Malaya jadi Palestin kedua' masih kedengaran diperkatakan orang.

Maka saya di India saya dapat mempelajari bahasa Inggeris dan Perancis, dan dalam mempelajari ilmu-ilmu kedoktoran homeopati asas Belanda memudahkan saya mempelajari bahasa Jerman. Kemudian masuklah saya ke dalam perguruan psikologi-metafizik, ilmu al-ruhani juga falsafah dan perbezaan-perbezaan agama besar di dunia ini. Apabila menyusun-nyusun tesis untuk kedoktoran failasuf (Ph.D) maka terpaksalah saya berfikir mendalam mengambil di mana titik berat, inti sari dan pati punca perbezaan dan perbalahan. Maka termasuklah membahaskan berkenaan dengan sufi itu termasuk dalam falsafah. Saya pelajari sufi dari bahasa-bahasa Eropah. Terpaksalah balik saya mengenal al-Ghazali, al-Badawi, al-Rifa'i, al-Rumi, al-Qushairi, Ibnu 'Ata'illah dan lain-lain serta rujuk kitab-kitab Eropah itu kepada kitab Arab maka barulah saya mencari kitab-kitab Arabnya pula.

Kemudian setelah saya siasati kedatangan Islam ke Nusantara kita ini dan datuk nenek kita memeluk agama Islam yang hanif (yang lurus-peny.) ini terutamanya kesan-kesannya ialah daripada 'ulama-ulama 'Syafi'i dan 'ulama-ulama' tasawwuf, sama ada 'ulama-ulama' itu datang secara saudagar atau secara muballigh; bukan masuk melalui 'ulama-ulama' fiqh, Islam masuk di Nusantara kita ini berkembang tidak dengan kekerasan atau paksa tetapi dengan kemahuan hati dan pilihan jua yang dapat mengatasi agama Hindu dan Buddha [se]bagaimana yang diperjuangkan oleh wali songo di Jawa dan lain-lain kepulauan maka beransur-ansur nampaklah saya kesenian ilmu tasawwuf.

Hebatlah sungguh perlawanan di dalam diri saya sendiri pertentangan-pertentangan yang saya katakan dahulu itu tasawwuf kolot dan jumud dengan Islam progresif dan saintifik.

Bila kita halusi intisari alam metafizik dan pengertian alam mithal yang diterangkan 'ulama-ulama' tasawwuf dipandang dari bahas ilmiah hari ini nampaklah kita di mana ilmu tasawwuf dan tariqat-tariqatnya.

(Dipetik daripada buku Simposium Tasawwuf dan Tariqah oleh Prof. Dr. Burhanuddin, hlm. 35-


Read more...

Wednesday, November 21

pejuang yang dilupakan siri 1


 Dr. Burhanuddin al-Helmi adalah pemimpin ketiga PAS selepas Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan dan Dr. Abbas Alias. Beliau dilahirkan di Changkat Tualang, Perak pada 29 Ogos 1911.1 Bapa beliau bernama Haji Muhammad Nor dikatakan keturunan seorang bangsawan dari Sumatera. Seorang yang alim, petani dan juga ahli tasawwuf.2 Beliau datang ke Tanah Melayu pada tahun 1908 dalam perjalanan pulang dari Makkah. Haji Muhammad Nor tinggal beberapa tahun di Makkah untuk mendalami ilmu agama dan mempelajari al-Quran. Ketika tiba di Changkat Tualang, beliau baru berusia 18 tahun. Bapa Dr. Burhanuddin al-Helmi dikenang sebagai seorang yang tidak mementingkan kebendaan, tidak mementingkan kesenangan dunia, seorang yang sentiasa senyum dan tidak mudah marah sehinggakan beliau digelar ‘Abi Halim’ oleh sesetengah rakannya. Mengambil sempena gelaran ini jugalah Dr. Burhanuddin menggunakan ‘Al-Hulaimi’ yang kemudiannya dipopularkan umum menjadi Al-Helmi yang bermakna orang yang tidak pemarah.3 Sifat sebagai seorang yang sabar, tidak pemarah, lemah lembut ini diakui oleh sahabat-sahabat yang dekat dengan beliau. Dr. Burhanuddin al-Helmi juga seorang pemimpin yang senang untuk didampingi oleh sesiapa sahaja malah beliau juga seorang yang mudah mendampingi orang lain, beliau tidak suka menghampakan orang yang mengharapkan bantuan atau khidmatnya. Walaupun Dr. Burhanuddin al-Helmi seorang yang jujur dan mudah didampingi oleh ahli dan rakyat, namun beliau bukanlah seorang yang mudah dipermain-mainkan, hatinya cukup keras walaupun orangnya tampak lembut. Dengan lain perkataan ada masa dan tempatnya Dr. Burhanuddin al-Helmi boleh dipengaruhi dan ada masa dan tempatnya pula dia tidak boleh dipengaruhi oleh sesiapa. Dalam peristiwa penggubalan Perlembagaan Rakyat, soal kerakyatan di mana All Malayan Council of Joint Action (AMCJA) mahukan kerakyatan berdasarkan tempat lahir atau jus soli sedangkan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) keberatan menerima kerakyatan cara ini, perbalahan juga berlaku dalam soal nama kerakyatan, AMCJA mahukan kerakyatan yang bernama “Malayan” sedangkan PUTERA dengan dijuarai Dr. Burhanuddin al-Helmi mahukan kerakyatan yang bernama “Melayu”.7 Dalam hal ini Dr. Burhanuddin al-Helmi tetap dengan pendiriannya sehingga memaksa Ahmad Boestamam menggunakan kebijaksanaannya menyelesaikan masalah ini bagi menjayakan Perlembagaan Rakyat.8
Dr. Burhanuddin al-Helmi ialah seorang yang benar-benar alim dalam ilmu dan bidang agama Islam. Ketinggian ilmunya memang suka hendak ditandingi.9 Beliau menguasai semua pelat bahasa Arab yang berlainan itu. Malah, beliau juga seorang ahli tafsir Al-Quran dan al-Hadis yang ulung dan menguasai nahu saraf dan segala yang berhubung dengan sastera Arab. Selain itu beliau juga boleh bertutur dan menulis dengan fasih dan baik dalam bahasa Urdu, Belanda, Inggeris, Perancis dan Jerman. Ertinya beliau berkebolehan menguasai tujuh bahasa besar dunia.10 Dr. Burhanuddin al-Helmi dalam perjuangannya sebelum memasuki PAS sentiasa membimbing ahli-ahlinya supaya berusaha dengan tekun kerana berusaha itulah yang menentukan nasib diri dan kaum mereka akan berubah, beliau sering memberi tazkirah kepada mereka dengan memperdengarkan ayat-ayat al-Quran yang sesuai sebagai penguat semangat perjuangan. Ibu Dr. Burhanuddin al-Helmi, Sharifah Zaharah binti Habib Othman pula berketurunan Arab yang berhijrah ke Perak dari Melaka. Penghijrahan ini kerana ingin mencari rezeki yang lebih di samping mencari tempat tinggal yang tenteram.16 Perkahwinannya dengan Haji Mohamad Noor diuruskan oleh keluarga. Dr. Burhanuddin al-Helmi mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu di Behrang Ulu dan kemudian di Bakap sehingga darjah tiga. Pada sebelah petangnya, Dr. Burhanuddin al-Helmi mengikuti kelas al-Quran dan agama. Pada waktu lapang, Dr. Burhanuddin al-Helmi belajar ilmu perubatan Melayu seperti jampi-jampi dan manter daripada seorang datuk saudaranya. Dr. Burhanuddin al-Helmi dikatakan menyalin bahan-bahan ramuan untuk ubatan-ubatan Melayu itu.17 Selepas bersekolah di Bakap, beliau berpindah pula ke sekolah di Kota Bahru (Perak) dan mula menceburkan diri dalam bidang penulisan dengan menerbitkan akhbar mingguan iaitu Berita Minggu yang menyiarkan berita-berita di dalam dan di sekitar kampungnya.18
ada tahun 1924, setelah tamat sekolah Melayu, Dr.Burhanuddin al-Helmi dihantar oleh bapanya ke Sungai Jambu, Sumatera untuk mendapatkan pendidikan Islam di sana. Selama dua tahun di sana beliau dikatakan dididik dan dipengaruhi oleh guru-guru dan ajaran-ajaran Kaum Muda.19 Beliau kemudiannya tidak mahu meneruskan pengajian di sana kerana tidak setuju dengan ;cara pendidikan yang dijalankan di sekolah agama itu. Sistem menadah tangan dan menghafal kitab yang sama tidak disukai oleh Dr. Burhanuddin al-Helmi. Beliau lebih suka satu bentuk metodologi pengajaran dan pembelajaran yang bersifat perbincangan dan soal jawab antara guru dengan murid dilaksanakan. Ini kerana, beliau mempunyai banya persoalan yang ingin dihuraikan. Beliau mempunyai sikap ingin tahu, tidak dapat berpuas hati dengan satu jawapan yang sangat kaku. Beliau tidak suka pemikirannya dikongkong.20 Apabila berhenti dari sekolah di Sungai Jambu Sumatera, Dr. Burhanuddin al-Helmi dihantar belajar oleh ayahnya di Pondok Pulau Pisang, Jitra, Kedah. Tuan guru pondok itu ialah Tuan Guru Haji Salleh Ismail iaitu sahabat kepada bapa Dr. Burhanuddin al-Helmi. Oleh kerana beliau berasakan cara pengajian dan sukatan pelajaran di pondok ini tidak memadai baginya, Dr. Burhanuddin al-Helmi berpindah pula ke Madrasah al-Masyhur al-Islamiyyah, Pulau Pinang. Di madrasah ini, Dr. Burhanuddin al-Helmi belajar sehingga tamat Thanawi (menengah atas) pada tahun 1934. Satu hakikat yang tidak dapat disanggah di sini ialah, Dr. Burhanuddin al-Helmi telah dipengaruhi oleh pemikiran dan keperibadian politik Sheikh Abu Bakar al-Rafie iaitu Mudir madrasah, Haji Arshad al-Bawayih, seorang ahli tatabahasa bahasa Arab iaitu seorang dari golongan ‘Kaum Muda’ dan Ashiran Yaakob, seorang penulis yang turut serta dalam memperjuangkan nasib politik, ekonomi dan sosial orang Melayu.21 Dr. Burhanuddin al-Helmi kemudiannya ditawarkan biasiswa oleh hartawan-hartawan India Islam di Pulau Pinang untuk melawat dan meneruskan pengajian di India. Semasa di India, Dr. Burhanuddin al-Helmi belajar bidang homeopati sehingga memperoleh ijazah homeopati. Bidang ini telah dipelajarinya di Ismailiah Medical College.22
Dr. Burhanuddin al-Helmi juga mendapat kelulusan Doctor of Naturopathy dari School of Naturopathy, London secara ijazah luar kampus. Penganugerahan ijazah lain yang diperolehnya seperti Doctor of Divinity daripada International Academy Canada, kerana penglibatan luas beliau dalam bidang perubatan homeopati. Ini termasuk juga penganugerahan ijazah Doktor Falsafah.23 Dr. Burhanuddin al-Helmi juga dikatakan belajar di Aligarh Muslim University, India. Semasa dalam perantauan di negara orang inilah Dr. Burhanuddin al-Helmi banyak belajar dan menerima pengalaman politik dari nasionalis-nasionalis luar negara. Di India, beliau telah didedahkan dengan perjuangan Mahatma Gandhi menuntut pembebasan India daripada penjajahan British. Beliau dikatakan menghadiri rapat umum dan ceramah-ceramah Mahatma Gandhi serta mengikuti pendapat Mahatma Gandhi yang menuntut kebebasan politik bagi India dan tidak menggalakkan kekerasan dan permusuhan dalam kalangan orang India. Semasa di India juga, Dr. Burhanuddin al-Helmi terdedah dengan ajaran tasawuf Naqsyabandiah24. Semasa melawat Palestin, beliau telah melihat tindakan politik dan ketenteraan British mewujudkan sebuah negara Israel dengan menafika hak politik bangsa dan negara Palestin. Dr. Burhanuddin al-Helmi turut terlibat dalam perarakan menentang Perjanjian Balfour yang membentuk negara Israel. Akibatnya beliau ditahan oleh British.
Pengalaman-pengalaman yang dikutip dari perantauan ini menjadi pedoman dan inspirasi perjuangan membebaskan negara daripada penjajahan kuasa barat. Bersama-sama dengan Ibrahim Haji Yaakob, Onan Siraj dan beberapa orang pemimpin KMM yang lain, Dr. Burhanuddin al-Helmi telah menubuhkan Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) pada Julai 1945. Penubuhan KRIS digalakkan oleh pihak Jepun. Jepun sebenarnya telah menjanjikan kemerdekaan kepada Indonesia. Justeru itu beberapa siri rundingan telah diadakan antara pihak Jepun dengan Soekarno. Dr. Burhanuddin al-Helmi dan Ibrahim Yaakob ingin membawa Tanah Melayu merdeka bersama Indonesia apabila Jepun berundur nanti. Atas matlamat inilah satu perundingan dan perbincangan telah diadakan antara brahim Yaakob dengan Soekarno dan Hatta di Taiping pada 12 dan 13 Ogos 1945. Soekarno dan Hatta pada ketika itu dalam perjalanan pulang dari Saigon setelah bertemu Field Marshall Terauchi, Pemerintah Tertinggi Tentera Jepun bagi Asia Tenggara. Usaha-usaha mencapai kemerdekaan dalam konsep Indonesia Raya ini telah dijalankan dengan digerakkan oleh Dr. Burhanuddin al-Helmi. Satu mesyuarat telah diadakan di Kuala Lumpur pada 15 dan 16 Ogos 1945 bagi merancang beberapa langkah yang patut dibuat bagi menentang kemasukan semula British ke Tanah Melayu. Mesyuarat juga telah memutuskan sebuah kabinet akan dibentuk bagi negara merdeka tersebut dengan nama Malaya Demokratik Rakyat, di mana dalam kabinet ini Dr. Burhanuddin al-Helmi juga dilantik sebagai anggota kabinet. Mesyuarat juga membincangkan cara-cara bagi menggelak penguasaan Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) selepas pengunduran Jepun.30 Pada 17 Ogos 1945, atas arahan Ibrahim Yaakob satu perjumpaan dengan wakil-wakil pemuda KRIS telah diadakan di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Perjumpaan ini turut dihadiri Itagaki dan dua orang kawannya. Pihak Jepun telah memberitahu rancangan untuk merdeka dalam Indonesia Raya tidak dapat dilaksanakan kerana penyerahan diri Jepun secara mendadak pada 15 Ogos 1945. Dengan itu usaha untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu juga gagal. Kegagalan ini sedikit menghampakan Dr. Burhanuddin al-Helmi. Jika usaha ini berjaya kita mungkin dapat membayangkan Dr. Burhanuddin al-Helmi akan menjadi Perdana Menteri Tanah Melayu yang pertama, seorang pemimpin yang menggabungjalinkan semangat kemelayuan, nasionalis tulen dan semangat keislaman.

Read more...

My Blog List

About This Blog

Blog Archive

My Blog List

[Valid Atom 1.0]

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP