5.10 SIHIR
Ijma’ ulama’ menyatakan bahawa sihir itu hukumnya haram dan kafirlah orang yang menghalalkannya. Orang yang mempelajarinya, mengamalkannya dan membenarkannya adalah kafir kerana melakukan sesuatu yang syirik.
UQUBAH KE ATAS TUKANG SIHIR
Pendapat Abu Hanifah, Malik, Ahmad, Golongan Syi’ah dan sebilangan besar sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w.:
Tukang sihir wajib dibunuh dengan dipenggal lehernya dengan pedang kerana mempelajari dan mengamalkan sihir kerana ia telah kafir dan tidak perlu disuruh taubat terlebih dahulu.
Pendapat Asy-Syafie dan golongan Az-Zahiriah:
Jika perbuatan atau ucapan ahli sihir itu kufur, maka tukang sihir itu adalah kafir murtad. Berlakulah ke atasnya hukuman seperti ke atas orang yang murtad, kecuali ia bertaubat. Jika perbuatan atau ucapannya tidak kufur, maka ia tidak kafir dan tidak boleh dibunuh. Ia dihukum menurut ketentuan hakim berdasarkan maklumat dari dalil-dalil yang sah.
6.0 IKRAR DALAM HUDUD
TAKRIFAN IKRAR
Secara literal, ia bermaksud menstabilkan atau menyesuaikan sesuatu yang berubah-ubah antara pengakuan dan menafian. Menurut mazhab Syafi’e, Al-Iqrar ditakrifkan sebagai pengakuan dan penghindaran penafian. Ia ditakrifkan sebagai testimoni berhubung dengan hak atau tuntutan terhadap orang yang memberi keterangan. Pengakuan adalah jenis keterangan yang terbaik dan hakimlah yang perlu meneliti dan mengkaji untuk mengesahkan bahawa keterangan palsu tidak wujud.
AL-MUQIRR (ORANG YANG BERIKRAR)
- Berkelayakan mengikut hukum syara’, iaitu matang dan dewasa, waras, dan berhati-hati (rasyid).
- Membuat pengakuan secara sukarela tanpa paksaan.
- Bukan dalam keadaan seperti berikut:
- Orang yang sedang dalam tidur (mengigau).
- Orang yang dalam pengsan.
- Orang yang berjenaka.
- Orang yang mabuk.
Ahli fikah menetapkan syarat berikut untuk sesuatu pengakuan salah menjadi sah dari segi Shurb Al-Khamr:
1.Mazhab Hanbali, Abu Yusuf dan Zafer, tidak seperti majoriti pakar undang-undang Muslim yang lain, mensyaratkan bahawa ia mestilah diulang sebanyak dua kali. Pendapat mereka ini berdasarkan analogi keperluan membuktikan kesalahan melalui testimonial dua orang saksi dan juga amalan Sayidina Ali.
2.Ahli Fikah telah mencapai kesepakatan melainkan kumpulan Zahiriah tentang pendapat bahawa pengakuan salah tidak boleh ditarik balik.
3.Pendapat yang dominan dalam mazhab Hanafi ialah muqrir (pengikrar) mestilah dalam keadaan mabuk semasa membuat pengakuan salah tersebut.
SYARAT IKRAR DALAM KES CURI DAN HIRRABA
- Jumhur ulama’ selain Imam Hanbali, Abu Yusuf, dan Zafer berpendapat bahawa satu pengakuan salah sudah cukup memadai untuk membuktikan kes curi dan hirraba.
- Ahli fikah sebulat suara mengatakan yang tertuduh mesti memberi huraian lengkap tentang kesalahan yang dilakukan.
- Abu Hanifah dan beberapa ulama mazhab Syafi’e membuat syarat tambahan bahawa untuk menerima pengakuan salah sebagai sah, mestilah ada tuntutan oleh pihak yang terkilan. Hal ini berdasarkan keputusan Rasulullah s.a.w. dalam kes Samarah yang mengaku dia mencuri harta tertentu milik masyarakat setempat. Baginda s.a.w. menangguhkan pengumuman keputusan sehingga baginda bertemu dengan semua pihak yang terkilan bagi mengesahkan pengakuan salah yang dibuat.
Mazhab Syafi’e, Maliki dan kumpulan Zahiriah berpendapat sekali pengakuan sahaja sudah memadai untuk menyabitkan kesalahan. Mereka memberikan hujah:
- Keputusan Rasulullah s.a.w. dalam kes Aseef di mana baginda tidak menentukan sebarang jumlah, dan mengarahkan Anis pergi bertanya kepada perempuan tersebut dan jika perempuan itu mengaku, rejam kedua-dua pesalah dengan batu.
- Ghamidiah tidak membuat lebih daripada satu pengakuan salah di hadapan Rasulullah s.a.w.
- Tindakan Rasulullah melambat-lambatkan untuk menjatuhkan hukuman bersalah ke atas Maiz selepas tiga kali pengakuan yang pertama ialah kerana baginda meragui kewarasannya.
- Sesuatu ikrar adalah secebis maklumat yang lebih dianggap benar daripada palsu. Oleh itu, ia boleh dibuktikan hanya dengan sekali pengakuan sahaja.
KESALAHAN HUDUD YANG LAIN
- Bagi kesalahan hudud yang lain, ahli Fikah telah sebulat suara bersetuju bahawa ia boleh dibuktikan dengan hanya sekali pengakuan salah sahaja.
- Dalam kes seperti murtad dan pemberontakan, dibenarkan menarik balik pengakuan tetapi tidak dalam kes Qazaf.
7.1 HIKMAH HUDUD KEPADA INDIVIDU
Hukum Hudud yang dilaksanakan dapat mendidik manusia menjadi insan kamil yang bermanfaat kepada dirinya sendiri dan alam sejagat, mencegahnya daripada melakukan kesalahan-kesalahan yang menjatuhkan iman dan sahsiahnya, serta dapat menghalangnya daripada melakukan kesalahan selanjutnya jika telah melakukan kesalahan itu. Ini adalah berdasarkan tujuan hukum Hudud disyari’atkan kepada manusia.
7.2 HIKMAH HUDUD KEPADA MASYARAKAT
Dengan pelaksanaan hukum Hudud ini, ia dapat mewujudkan dan melindungi maslahat umum dan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa atau kedudukan. Dalam masyarakat mana pun ada orang jahat sebagaimana juga dalam semua badan manusia, pasti ada penyakitnya sama ada banyak atau sedikit. Seorang pembunuh atau penjenayah adalah manusia yang berpenyakit dan sangat berbahaya dalam kehidupan masyarakat. Adanya penjenayah pasti akan menggugat ketenteraman dan kestabilan masyarakat. Dalam hal ini, peranan Syari’at dalam mengubati masyarakat sama seperti peranan seorang doktor mengubati pesakitnya. Selama penyakit boleh diubati, selama itulah ia perlu diubati. Tetapi jika tidak dapat diubati, ia harus dimusnahkan. Perumpamaan ini adalah sangat sinonim dengan Sistem Hukum Hudud.
7.3 HIKMAH HUDUD KEPADA AGAMA
Sistem hukum Hudud dapat memberikan gambaran positif terhadap orang-orang yang menganut agama lain tentang agama Islam. Ini kerana pelaksanaan sistem ini amat memerlukan ketepatan bukti, adil dalam meletakkan keputusan, tegas dalam melaksanakan hukuman dan mempunyai rasa belas terhadap pesalah yang tidak memenuhi syarat had atau yang menarik balik pengakuan. Hukum ini dapat melahirkan umat yang sentiasa suci, tidak berbuat jahat dan tidak dipandang serong oleh masyarakat agama lain.
7.4 HIKMAH HUDUD KEPADA NEGARA
Pelaksanaan sistem hukum Hudud ini dapat melahirkan negara yang jauh lebih aman dan sentosa. Kenyataan-kenyataan membuktikan kepada kita bahawa negara-negara yang menjalankan hukum Jenayah Islam sekarang adalah jauh lebih aman daripada negara-negara lain di seluruh dunia. Negara-negara Arab Saudi, Iran, Oman, dan lain-lainnya menjadi contoh dan bukti yang sangat nyata. Dolak-dalik yang dikemukakan bagi maksud menimbulkan kebencian dan keraguan orang terhadap hukum-hukum Islam sebenarnya dilakukan oleh musuh-musuh Islam atau agen-agennya yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia dari jalan Tuhannya.
8.0 TERJEMAHAN / TAFSIR DARIPADA AL-QURAN BERKAITAN HUDUD
Dan barangsiapa yang tidak menghukum dengan hukum yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang fasiq (derhaka)
(Surah Al-Maaidah, ayat 47)
Dan barangsiapa yang tidak menghukum dengan hukum yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang kafir
(Surah Al-Maaidah, ayat 44)
Barangsiapa yang kafir dengan Allah sesudah ia beriman (ia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksakan kafir padahal hatinya tetap tenang dalam iman, tetapi orang yang lapang dadanya dengan kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya dan baginya azab yang besar
(Surah An-Nahli, ayat 106)
Dan janganlah kamu mendekati zina kerana sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji dan satu jalan yang buruk
(Surah Al-Isra’ ayat 32)
Wanita penzina dan lelaki penzina hendaklah kamu dera atau setiap orang seratus kali rotan dan janganlah belas kasihan atas kedua-duanya menghalang kamu dalam (menegakkan) agama Allah, jika sekiranya kamu beriman dengan Allah dan hari Akhirat,dan hendaklah pelaksanaan hukuman atas kedua-duanya dipersaksikan oleh sekumpulan orang-orang mukmin.
(Surah An-Nur, ayat 2)
9.0 PELAKSANAAN HUDUD DI MALAYSIA
Pelaksanaan hukum Hudud bukanlah satu perkara baru di Malaysia. Di sebuah batu bersurat yang bertulis dengan tulisan Jawi yang telah dijumpai di suatu tempat berhampiran Kampung Buluh di Sungai Tersat, Kuala Berang di Hulu Terengganu yang mana tarikhnya ialah 22 Februari 1303 bersamaan dengan 4 Rejab 702 A.H. disebutkan:-
“Orang berbuat bala cara laki-laki perempuan satitah Dewata Maha Raya jika merdeka bujang palu seratus rotan. Jika merdeka beristeri atau perempuan bersuami ditanam hinggakan pinggang dihambalang dengan batu dimatikan.”
Namun, selepas di kaji melalui bacaan buku Pentadbiran Undang-undang Islam di Malaysia karangan Ahmad Mohamed Ibrahim, dapatlah disimpulkan bahawa tidak ada undang-undang Malaysia yang mengikut hukum Hudud atau menggunakan hukum Hudud secara tepat seperti yang disyari’atkan. Sebagai contoh dinyatakan bahawa apabila berzina, hukuman had yang sepatutnya dikenakan dalam Hudud adalah dirotan 100 kali bagi pesalah bukan muhshan, dan direjam sampai mati bagi pesalah muhshan. Namun dalam undang-undang Malaysia, pesalah zina dan rogol dikenakan penjara tidak melebihi 20 tahun dan tidak melebihi 10 sebatan dan denda di bawah Seksyen 46(2) (cabul), Seksyen 10 (sumbang mahram), Seksyen 11 (zina), dan Seksyen 16 (kehamilan di luar nikah) dalam Kanun Jenayah Syariah 1985, serta Seksyen 375 dan 376 (mengenai rogol) dalam Kanun Keseksaan.
Undang-undang Islam diletakkan di bawah Senarai Negeri. Ini bermakna kuasa perundangan dan pentadbiran undang-undang Islam adalah di bawah kuasa kerajaan Negeri. Badan yang berkuasa untuk membuat undang-undang berkaitan agama Islam adalah Dewan Undangan Negeri. Keadaan ini menjadikan setiap negeri perlu membuat enakmen tersendiri berkaitan perundangan dan pentadbiran Islam selagi mematuhi Perlembagaan dan tidak melangkaui sebutan-sebutan dalam Undang-undang rasmi negara.
KESIMPULAN
Berdasarkan kajian-kajian di atas, terdapat banyak perkara yang dapat disimpulkan. Kebesaran Allah s.w.t. dalam menentukan hukum, hala tuju manusia dan tindakan manusia adalah sangat hebat dan tiada tandingannya. Dapat kami simpulkan bahawa:
- Hukum Allah adalah tepat, adil, tidak lapuk dek peredaran zaman, bersesuaian dalam semua keadaan, tempat dan masa, dan amat berkesan dalam menangani masalah manusia bermasalah.
- Pentingnya hukum ini dilaksanakan untuk memiliki suasana atau negara yang harmoni, aman dan tenteram.
- Betapa Maha Besarnya kuasa Allah s.w.t. yang menetapkan hukum-hukum manusia yang mempunyai banyak keistimewaan dan kebaikan itu.
- Betapa pentingnya kita sebagai umat Islam wajib patuh pada perintah-Nya dan wajib menjauhi segala larangan-Nya tanpa dolak-dalik, was-was atau curiga.
- Betapa pentingnya melaksanakan syari’at Allah sebagai panduan untuk tindakan terhadap masyarakat bermasalah.
- Hukum yang ditetapkan Allah adalah bersifat tetap, tidak boleh diubah.
- Hukum Hudud adalah layak diterima oleh pesalah atas perlakuan salahnya itu.
- Hukum Hudud dapat membuatkan pesalah insaf dan tidak mahu mengulangi perbuatannya itu lagi.
- Pentadbiran Undang-undang Islam di Malaysia; Ahmad Mohamed Ibrahim; terbitan Institut Kefahaman Islam Malaysia
- Mengenal Qanun Jenayah Islam; Drs. Abdul Ghani Azmi b Idris; Al-Hidayah Publishers
- Shari’ah: The Islamic Law, ‘Abdur Rahman I. Doi, London Press
- Jenayah Kanak-kanak Menurut Undang-Undang Islam; Alwi Hj. Abdul Rahman; terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka
- Undang-undang Keterangan Islam; Sayed Sikandar Shah Haneef; terjemahan Utusan Publications
- Institusi-institusi Islam; Wan Ali Bin Wan Jusoh, Mohd. Hambali Bin Rashid, Muhammad Fathi Bin Yusof
Selagi Melayu bukan majoriti kat Malaysia ni, jangan harap la DAP nak setuju pasal hudud. Betul tak Karpal Singh? Jom kita solat hajat ramai2 untuk KO Dap!
ReplyDelete